Pembelajaran Secara Kontekstual


Pengenalan

Menurut John Dewey (1916), pembelajaran kontekstual merupakan satu keadaan di mana pelajar akan belajar dengan baik jika apa yang dipelajari berkaitan dengan apa yang berlaku di persekitaran. Pembelajaran ini menekankan pada daya fikir yang tinggi, pemindahan ilmu pengetahuan, pengumpulan dan penganalisis data, pemecahkan masalah-masalah tertentu samada secara individu atau berkumpulan. Kontekstual dari ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian.

Pembelajaran konteksual merupakan satu model dinamik dan terbuka. Strategi ini dapat memastikan pelajar disediakan peluang untuk menjadikan pembelajaran bermakna melalui pengalaman dan informasi, dan menggunakan pengalaman serta informasi demi membina pengetahuan sendiri. Kaedah kontekstual adalah berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, di mana ia mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan. Ringkasnya, pembelajaran kontekstualisme ialah satu kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian, individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Pembelajaran jenis ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti ‘hands-on’ dan ‘minds-on’.


Kepentingan Pembelajaran Kontekstual Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Pendekatan pengajaran ini mempunyai banyak kepentingan dan faedahnya. Ini termasuklah faedah kepada murid dan faedah kepada guru sendiri. Pendekatan kontekstual adalah satu proses yang melibatkan pelbagai bentuk penemuan yang bersifat kompleks yang menjangkau kaedah-kaedah jenis latih tubi dan rangsangan dan tindak balas. Konsep pengajaran ini lebih menumpukan kepada pembelajaran yang bercirikan penemuan dan pencarian. Ia akan mendorong murid-murid mencari hubungan dan cara penyelesaian berdasarkan persekitarannya.

Pendekatan kontekstual juga merupakan pendekatan yang menekankan dunia kehidupan sebenar murid-murid. Ini bermakna, pembelajaran adalah berkisar kepada konteks kehidupan sebenar dan cara ini sudah tentu akan lebih mudah memberi kefahaman kepada murid-murid tentang konsep-konsep berkaitan. Selain itu, pembelajaran ini juga boleh dilaksanakan secara koperatif dan melibatkan penggunaan bahasa. Pembelajaran sebagai aktiviti sosial ini amat menggalakkan interaksi dan perbincangan sesama murid atau antara murid dan guru. Dengan cara ini proses pembelajaran murid akan berlaku dengan lebih mudah. Ini sudah tentu dapat memastikan objektif pelajaran yang telah ditetapkan dalam perancangan pelajaran ini dapat dicapai dalam sesi praktik yang akan dilaksanakan nanti.

Bagi guru pula, pendekatan pengajaran ini sudah tentu menggalakkan mereka memilih dan membina persekitaran pembelajaran yang menggabungkan pengalaman-pengalaman yang mereka lalui seberapa banyak yang boleh. Pengalaman-pengalaman yang dilalui termasuklah dari aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan. Berdasarkan persekitaran sedemikian, pelajar menemui perhubungan yang bermakna antara idea abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata. Penghayatan konsep diperoleh melalui proses penemuan, pengukuhan dan menghubungkaitkan.


2 orang dah komen :

Anonymous said...

salam. nk mtk tlg jk pnh bwt esemen psl lompat kijang boleh x sy nk mtk soft copy. urgent. tlg emel ke the_redz89@yahoo.com

Hana said...

@Anonymous dari ipg mana?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...